Dunia tahqiq atau bahasa lainnya, filologi adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dalam kegiatan ilmu Islam kini. Hal ini kerana, ilmu ini lah yang menjamin ketepatan dan keaslian lafaz kitab-kitab turath peninggalan ulama’ kita terdahulu.
Kebanyakan ilmu-ilmu dahulu disalin secara turun-temurun di atas lembaran dengan menggunakan pena. Oleh karena itu, kemungkinan terjadi kesilapan dalam penyalinan tersebut. Bagaimana kita meneliti dan memeriksanya? Dengan tahqiq ini lah.
Tidak dapat tidak, kita perlu menyebutkan para tokoh yang membanting tulang menghidupkan kegiatan tahqiq demi memastikan ketulenan kitab yang sampai kepada umat Islam di zaman ini. Diantaranya adalah Syeikh Muhd Hamid al-Faqi, Syeikh Muhd Muhyiddin Abd Hamid, al-fadhil Ahmad Zaki Pasha, Syeikh Ahmad Muhd Syakir dan saudaranya Mahmud Muhd Syakir (semoga Allah swt merahmati mereka semua). Ini hanya segelintir daripada nama-nama pejuang yang disebutkan, masih ramai yang menghulurkan tangan mereka dalam usaha menghidupkan ilmu agama ini.
Sejenak kita berfikir, adakah tahqiq ini hanya dipelopori oleh kaum Adam sahaja dari dulu? Jarang sekali kita melihat nama wanita yang menghiasi wajah ghulaf kitab, kan? Apakah tiada wanita yang ada keupayaan melakukan pekerjaan yang berat ini? Sabar, kan tajuknya pentahqiq wanita, nak bagitahu lah ni.
Dr. Mahmud Mohd Tanahi rhm menyiapkan satu fasl khusus dalam bukunya yang menceritakan mengenai wanita pentahqiq, tidak kira orientalis atau muslimah. Kebanyakan pentahqiq wanita ini lahir dari dalam pagar pengajian universiti karena pada mulanya, bidang tahqiq ini menjadi satu subjek pengajian di kuliah. Akhirnya, bidang ini berkembang ke marhalah seterusnya hasil daripada pengajian ini.
Di Mesir, wanita yang hebat seperti Sayyidah Kasyif ada menyebarkan karya Imam Ibn Said rhm, Fauqiah Husain Mahmud juga ada menyebarkan karya Imam Juwaini rhm yang berjudul Lam’ul adillah fi qawaid ahli sunnah wal jamaah.
Begitu juga di Iraq, kita akan dapat mendengar nama-nama seperti Khadijah al-Haditsi yang mentahqiq kitab Al-Burhan Fi Wujuhil Bayan oleh Ibn Wahab rhm, Ibtisam Marhun, Fatimah Hamzah dan Najiah Abdullah Ibrahim. Apabila kita melihat di negara jiran yang berkongsi sempadan dengan Iraq iaitu Syria, para barisan wanita seperti Asma’ al Hamsi, Duriah al-Khatib, Nadia Ali Daulah turut menyumbangkan usaha dalam kegiatan tahqiq ini.
Selain itu, ada juga seorang tokoh wanita yang bergiat dalam usaha ini dari luar pagar kajian universiti, contohnya Widad al-Qadhi dari Lubnan. Tidak menghairankan apabila beliau tumbuh menjadi pentahqiq yang baik kerana beliau mempelajari langsung seni ilmu ini daripada gurunya, Syeikh Hassan Abbas rhm. Widad al-Qadhi banyak menyebarkan kitab seperti Wafayatul Aayaan, Zakhirah Ibn Bassam, Nafahut Toyyib dan lain-lain.
Namun begitu, setiap bunga di dunia ini akan dapat ditandingi oleh sekuntum bunga yang paling indah dan mekar. Ada seorang tokoh tahqiq wanita yang sangat menonjol dan masyhur, ilmunya dalam bidang ini tidak dipertikaikan, usahanya luar biasa dalam mentahqiq kitab Risalatul Ghufran oleh Abu al-Alaa al-Maari rhm. Nama wanita dari Mesir ini adalah Aisyah Abd Rahman atau lebih dikenali dengan laqab Bintu Syati’.
Bintu Syati pernah menjadi pengajar di Universiti al-Qorowiyyun di Maghribi selama 20 tahun, serta di 9 negara lainnya. Beliau satu-satunya wanita yang diberikan jabatan di al-Majalis al-Qaumiyyah al-Mutakhasisah, Kaherah. Bintu Syati’ juga mendapat anugerah dalam kesusasteraan dari Mesir dan Kuwait.
Bintu Syati’ merupakan seorang yang tekun dalam pekerjaannya. Ini dapat dikatakan kerana beliau tidak menulis mengenai Abu al-Aaala rhm kecuali setelah benar-benar ‘hidup’ bersamanya. Bagaimana? Beliau mengenali tokoh ini dengan dalam, tahu sejarah hidup al-Maari, mengenali karya-karyanya , mengkaji gaya pemikirannya sehingga beliau mampu mengeluarkan tiga buah karya khusus yang membicarakan tentang tokoh pilihannya itu.
Seterusnya, Bintu Syati’ juga amanah dalam nas-nas yang digunakan untuk ditahqiq. Beliau tidak akan mentahqiq sebuah risalah apabila ada antara nas-nas asli ini yang hilang. Hal ini untuk memastikan keaslian turath Arab itu terjaga.
Bagaimanakah beliau memproleh kemahiran yang luar biasa ini? Jawabannya sangat manis, beliau mempelajari ilmu ini daripada gurunya, Dr. Amin Khouli sekaligus suaminya. Suaminya lah yang mengajarkan bagaimana melihat nas yang klasik dengan mata pentahqiq, bagaimana menggunakan manhaj yang benar dan banyak lagi perkara lain. Namun begitu, kita juga dapat melihat adanya perbedaan dari segi uslub bahasa yang digunakan oleh mereka berdua. Pasangan ini sememangnya satu rahmat dalam agama karena memberikan sumbangan yang begitu besar dalam menghidupkan ilmu-ilmu warisan ulama kita.
Jika anda ingin mengenali Bintu Syati’ atau Dr Amin Khouli dengan lebih dalam, kisah mereka ada di dalam sebuah buku berjudul Alaa al-Jisr bayna al-hayat wal maut.
Kesimpulannya, para wanita yang menghiasi dunia tahqiq Islam ini ibarat mawar yang tumbuh mekar di balik rimbunan tebal. Mereka cukup berani untuk bergelumang dengan teks-teks klasik dan dalam usaha menyebarkannya.
Saya terfikir, adakah mungkin kita akan melihat timbulnya wanita-wanita begini dari dunia Nusantara Wanita yang mendalami ilmu bahasa Arab dengan cukup dalam sehingga mampu memberi sumbangan juga dalam dunia Timur ini? Karena wanita di mana-mana sama sahaja, mereka ada kemampuan untuk berikan sumbangan besar dalam agama, apabila dituntun dengan sebetulnya.
Judul asli artikel: PENTAHQIQ WANITA: MAWAR MEKAR DALAM RIMBUNAN TEBAL
Penulis : Binti Al-Naimi
Artikel diambil dari Serambi Salaf